SEJARAH SEKOLAH

    Sebuah bangsal didirikan di tengah kebun pada tahun 1902 sebagai pembuka sejarah sekolah. Seorang hamba Allah telah menghadiahkan sebidang tanah untuk tapak yang luasnya 20 kaki x 20 kaki. Pada tahun 1913, Allahyarham Dato’ Penghulu Paiman telah mendirikan beberapa bilik darjah di tanahnya yang terletak di tepi Sungai Punggor. Empat bilik darjah disediakan dengan beberapa orang tenaga pengajar.

    Dalam tahun 40 an sebuah sekolah didirikan di tapak yang lain pula. Kerajaan telah mendirikan bangunan batu yang besarnya 30 kaki x 100 kaki. Sebuah rumah guru juga disediakan di sebelah belakang bangunan sekolah. Keluasan tanah tersebut lebih kurang 3 ekar berserta dengan sebuah padang. Pada masa itu nama sekolah ialah Sekolah Kebangsaan Punggor.

    Bergerak daripada situ bilangan murid kian bertambah, maka di sebelah rumah guru didirikan lagi sebuah bangunan kayu. Bangunan itu didirikan secara gotong-royong oleh orang kampung. Bangunan tersebut didirikan sekitar tahun 1948.

    Kerana adanya dua bangunan sekolah, maka 2 orang guru besar mentadbir bagi setiap bangunan, oleh itu bangunan yang kedua ini dikenali dengan nama Sekolah Kebangsaan Seri Sampurna. (pada masa itu disebut Sekolah Melayu Seri Sampurna)
    Masa berlalu dengan rintangan-rintangan yang menjadi sejarah suka duka masyarakat setempat. Maka pada sekitar tahun 60 an, hilanglah nama Sekolah Kebangsaan Punggor, dan kekallah kedua-dua bangunan tersebut menjadi sekolah Kebangsaan Seri Sampurna.

    Diatas kerja keras serta usaha ahli masyarakat, satu peruntukan telah diterima untuk mendirikan satu bangunan baru menggantikan bangunan kayu. Bangunan 30 kaki x 180 kaki berserta sebuah kantin telah didirikan pada 1972. Bangunan kayu dirobohkan dan dibina semula untuk dijadikan bilik perpustakaan.Hari ini Sekolah Kebangsaan Seri Sampurna mempunyai 2 blok bangunan bilik darjah, sebuah kantin, sebuah perpustakaan (bekas rumah guru), sebuah bilik kemahiran Hidup (bekas perpustakaan) dan 2 unit rumah guru yang dibina pada tahun 1995.